2013 permulaan yang baik untuk ekonomi Eropah
Astro Awani
Januari 1, 2013 10:53 MYT
Januari 1, 2013 10:53 MYT
Kebanyakan warga seluruh Eropah mengharapkan kedatangan tahun baru 2013 akan menjadi permulaan yang lebih baik untuk ekonomi mereka.
Mereka turut optimis reformasi yang dibawakan kerajaan masing-masing akan membawa perubahan dalam kehidupan, biarpun penganalisis meramalkan satu lagi tahun yang suram untuk rantau berkenaan.
Dalam ucapan tahun barunya, Canselor Jerman, Angela Merkel sekali lagi mengingatkan yang rantau Eropah masih lagi tidak belajar daripada keruntuhan pasaran kewangan lima tahun lalu.
Beliau juga memberi amaran reformasi yang dipersetujui ketua negara Eropah untuk mengakhiri krisis kedaulatan hutang menuntut kesabaran .
Di Greece pula yang kini memasuki tahun keenam kemelesetan, warganya optimis keadaan akan kembali pulih disebalik beberapa fasa penjimatan yang diambil kerajaan.
Di Itali pula , prospek ekonominya juga diunjur positif.
Penganalisis meramalkan 2013 menjanjikan tahun lebih baik bagi pasaran kewangan Itali, lebih-lebih lagi sekiranya bekas Perdana Menteri Mario Monti menang dalam pilihanraya umum Februari depan.
Namun bagi Sepanyol , penganalisis meramalkan masa depan yang samar-samar.
Perdana Menterinya Mariano Rajoy memberi amaran yang negara itu akan menempuh laluan sukar tahun ini.
Antara cabaran utamanya ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.