200 penumpang berang 'diculik' dalam pesawat

Astro Awani
Februari 5, 2019 13:21 MYT
Kira-kira 200 penumpang mendakwa mereka dilayan bagaikan tebusan apabila tidak diberi makanan serta minuman dan tidak dibenarkan keluar selama lebih enam jam. -Foto news.com.au
Jika baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah penumpang wanita yang mendakwa diculik pemandu e-hailing, kali ini lain pula kisahnya.
Di Prague, Republik Czec, kira-kira 200 penumpang sebuah pesawat mendakwa mereka dilayan bagaikan tebusan apabila tidak diberi makanan serta minuman dan tidak dibenarkan keluar selama lebih enam jam.
Dalam kejadian itu, pesawat Ryanair berkenaan ditahan sekitar jam 9 pagi pada 3 Februari di Lapangan Terbang Vaclav Havel dan mengalami kelewatan akibat ribut salji dan terpaksa menunggu cuaca kembali pulih sebelum meneruskan penerbangan.
Apabila keadaan ribut semakin memburuk, beberapa penumpang pesawat FR2767 ke Madrid itu dilapor mulai resah dan suasana menjadi kucar-kacir ditambah pula dengan tangisan kanak-kanak.
Penumpang mulai membanjiri media sosial dengan dakwaan bahawa mereka dipaksa menanggung derita kesejukian dalam suhu mencecah -10 darjah Celsius manakala ada pula yang menuduh "diculik” syarikat penerbangan itu dan tidak dibenarkan turun dari pesawat.
Media tempatan melaporkan penumpang akhirnya dibenar keluar dalam keadaan angin kuat dan ribut salji, lapor news.com.au.
Sementara itu, Ryanair dalam satu kenyataan mendakwa kerja-kerja menyahais pada sayap pesawat yang perlahan menjadi punca kelewatan dan penumpang terlibat diberikan penginapan di sebuah hotel sementara menunggu pesawat berlepas keesokan harinya.

pic.twitter.com/vlW2FOLKMk

— Ryanair (@Ryanair) February 3, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Penumpang pesawat berkenaan akhirnya tiba di Madrid selepas penerbangan mereka tertangguh selama lebih 26 jam.
#Czec #FR2767 #Madrid #penerbangan #pesawat #Prague #ribut salji #Vaclav Havel
;