200 penduduk Palestin tunjuk perasaan
Associated Press
Februari 16, 2013 10:04 MYT
Februari 16, 2013 10:04 MYT
Lebih 200 penduduk Palestin bertempur dengan pihak berkuasa Israel di luar penjara Ofer, di Tebing Barat.
Ia tercetus selepas kumpulan berkenaan berkumpul bagi menyuarakan sokongan kepada banduan Palestin di penjara berkenaan.
Tunjuk perasaan diadakan bagi mendesak Tel Aviv membebaskan Samer Issawi yang mengadakan mogok lapar sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, Regim Zionis dikatakan bersetuju untuk membebaskannya sebagai sebahagian syarat pertukaran dengan askarnya yang diculik, Gilad Shalit.
Issawi pernah dilepaskan dari penjara pada 2011, bagaimanapun dikenakan had perjalanan terhad.
Dia kemudian disumbat semula ke dalam penjara kerana dikatakan melanggar syarat pembebasannya.
Menurut Menteri Hal Ehwal Penjara Palestin, Issa Qaraqe, Issawi memulakan mogok laparnya Ogos lalu berada dalam keadaan membimbangkan.
Dia dilapor susut sehingga 35 kilogram, selain mengalami kerosakan buah pinggang dan kehilangan deria rasa di sebelah kanan badan.
Sepanjang tempoh mogok selama 206 hari dia dikatakan hanya meminum air.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas membuat lawatan mengejut di penjara dekat Al Bireh.
Ia dibuat bagi menyuarakan sokongan kepada banduan yang mogok.
Abbas berjanji akan menjadikan isu berkenaan agenda utama dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, bulan depan.