200 pekerja pelantar minyak Petronas terkandas di perairan Myanmar, hampir habis bekalan makanan

Fareez Azman
Februari 7, 2021 16:09 MYT
200 pekerja Malaysia terkandas di pelantar minyak Petronas di Laut Andaman, perairan Myanmar sejak rampasan kuasa berlaku di negara itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: 200 rakyat Malaysia yang bekerja di pelantar minyak Petronas di Laut Andaman, perairan Myanmar dipercayai terkandas sejak rampasan kuasa berlaku di negara itu pada Isnin lalu.
Kesemua pekerja terbabit dikatakan terputus hubungan dengan daratan dan berhadapan dengan kehabisan bekalan makanan.
Memetik Mingguan Malaysia, salah seorang pekerja mendakwa tidak mendapat sebarang makluman daripada Kedutaan Malaysia di Yangon mahupun majikan mereka.
"Ada kawan-kawan yang sudah dihantar ke darat, tetapi tidak ada khabar berita daripada mereka.
"Kami juga tidak dapat hubungi kedutaan,” katanya dipetik akhbar itu.
BACA: Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?
Tambahnya lagi, kebiasaannya akan dijalankan penggantian petugas di pelantar terbabit setiap 40 hari, namun ekoran rampasan kuasa oleh junta tentera di negara itu, mereka terpaksa dikekalkan kerana isu visa dan COVID-19.
Malah perkhidmatan helikopter yang digunakan sebagai pengangkutan utama pekerja pelantar minyak juga terhenti kerana didakwa dikawal oleh junta tentera.
Bagaimanapun sehingga kini, difahamkan bekalan makanan dan bahan api bagi pekerja di pelantar minyak itu hanya boleh bertahan sehingga 11 Februari ini.
Astro AWANI sedang cuba mendapatkan reaksi Petronas berhubung perkara ini.
Isnin lalu, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) termasuk Aung San Suu Kyi ditahan oleh junta tentera di rumahnya yang terletak di ibu negara Naypyidaw.
BACA: Darurat Myanmar: Ribuan penduduk berarak sokong rampasan kuasa
BACA: Rampasan kuasa: Tentera Myanmar isytihar darurat satu tahun
#Aung San Suu Kyi #Petronas #Astro Awani #Visa #Myanmar #Laut Andaman #COVID-19 #Malaysia #rakyat #pelantar minyak #petugas #terkandas #bekalan makanan #Bekalan bahan api #rampasan kuasa
;