20 terbunuh akibat banjir, tanah runtuh di India

Astro Awani
Oktober 17, 2021 04:52 MYT
Anggota tentera memantau keadaan di Kerala bagi membantu mangsa yang terperangkap akibat banjir. - Foto AP
KERALA: Lebih 20 individu terkorban selepas banjir buruk melanda selatan India susulan hujan lebat pada Ahad.
Beberapa rumah turut dihanyutkan arus deras selepas sungai di Kottayam, Kerala melimpah serta menyebabkan sebilangan penduduk terperangkap di dalam rumah.
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari di Kerala menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.
Anggota tentera negara itu telah dikerah bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Bot nelayan digunakan bagi memindahkan mangsa yang terperangkap dalam rumah mereka di Kollam dan beberapa bandar di persisir pantai.
Helikopter turut digunakan bagi membawa bantuan kepada penduduk yang terjejas, kata jurucakap kerajaan tempatan pada Ahad.
Puluhan individu masih dilaporkan hilang dan dikhuatiri terkorban, kata pihak berkuasa.
Sebelum ini Kerala sering dilanda kejadian banjir dan tanah runtuh menyebabkan ratusan penduduk terkorban.
Pada 2018, kira-kira 400 mangsa terkorban manakala 1 juta yang lain hilang tempat tinggal dalam kejadian banjir terburuk di Kerala dalam abad ini.
#banjir #tanah runtuh #maut #hilang
;