20 rakaat dalam 7 minit, solat sunat 'Tarawih kilat' sah di Indonesia?

Agensi
Mei 9, 2019 12:20 MYT
Laporan agensi berita Liputan6, yang merakamkan situasi solat 'Tarawih kilat' di Masjid Padepokan Al-Busthomi di Cirebon,
Apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam akan berlumba-lumba menggunakan kesempatan pada bulan mulia ini untuk melakukan amal ibadat seperti mengaji al-Quran, bersedekah dan menunaikan solat sunat Tarawih.
Namun, belum sampai seminggu umat Islam di seluruh dunia mengejarkan ibadah puasa, laman sosial sekali lagi dikejutkan dengan rakaman video solat sunat 'Tarawih kilat' yang didakwa berlaku di Indonesia.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, satu jemaah di republik itu memang terkenal dengan cara mengerjakan ibadat tersebut dengan kelajuan yang pantas.
Memetik laporan agensi berita Liputan6, yang merakamkan suasana itu di Masjid Padepokan Al-Busthomi di Cirebon, pada Selasa lalu, menunjukkan ratusan jemaah di masjid tersebut menunaikan solat Tarawih 20 rakaat dan tiga rakaat Witir dalam tempoh kira-kira 7 hingga 10 minit sahaja!
‘Solat Tarawih terpantas’ itu dikatakan menjadi tradisi masyarakat di daerah berkenaan dan menjadi tarikan dalam kalangan masyarakat setempat kerana ia dilaksanakan dalam tempoh yang begitu singkat.
Portal tersebut melaporkan lagi, meskipun solat sunat itu dilakukan dengan cepat, namun pilihan bacaan ayat-ayat al-Quran adalah pendek dan gerakan solat dalam kalangan jemaah juga masih tertib.
Bagaimanapun, jemaah dimasjid tersebut mempunyai keyakinan dan alasan tersendiri.
Menurut seorang jemaah dari daerah tersebut yang dikenali sebagai Bandi, dia yakin bahawa solatnya diterima sebagai ibadah dan menepati syariat Islam.
“Gerakan solat biasa, tetapi semakin cepat semakin baik,” katanya.
Portala berita newsdetik.com pula melaporkan, ketua daerah tersebut, Ujang Bustomi yang juga imam kepada solat sunat terawih terpantas itu berkata, ia bertujuan mendorong masyarakat setempat untuk tidak malas menunaikan solat sunat itu.
“Solat sunat Tarawih cepat ini agar masyarakat mudah menunaikan solat. Ini kerana ramai juga (jemaah) yang kurang senang kerana lama,” katanya dipetik portal tersebut.
Sementara di Malaysia, Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.
Menurut pandangan mazhab Syafie, Dr Zulkifli berkata solat yang dilakukan secara pantas dan dilaksanakan secara tergopoh-gapah adalah tidak sah.
"Tidak sah solat itu kerana tiada tamakninah menurut pandangan Mazhab Shyafie.
"Adalah wajar untuk mengekalkan apa yang kita lakukan di Malaysia ini dengan adanya tamakninah dan perbuatan-perbuatan solat lain yang dapat membantu seseorang itu menumpukan perhatian ketika solat tanpa tergopoh-gapah," jelasnya.
#bulan puasa #Indonesia #Mazhab Syafie #Mufti Wilayah #Ramadan #Solat terawih pantas #Umat Islam
;