20 maut ribut kencang di utara Itali
Astro Awani
November 4, 2018 10:47 MYT
November 4, 2018 10:47 MYT
Sekurang-kurangnya 20 maut akibat ribut yang membawa angin kencang dan hujan lebat, yang berlaku di utara Itali.
Ribut yang sudah memakan masa seminggu itu turut memusnahkan ribuan hektar hutan di utara negara Eropah itu, Violin Forest, yang terkenal.
Kebanyakan mangsa terbunuh dalam kemalangan jalan raya atau akibat ditimpa pokok tumbang serta serpihan runtuhan yang berterbangan.
Gabenor Veneto, Luca Zaia, menyifatkan bencana alam dengan angin kuat sehingga 190km sejam itu sama seperti gempa bumi.
Antara yang maut adalah warga emas berusia 74 dan 73 tahun apabila pokok tumbang menimpa kenderaan mereka.
Timbalan Perdana Menteri Matteo Salvini dijangka melawat rantau Veneto pada Ahad.
Rantau Veneto, antara yang paling teruk dilanda bencana, mengalami kerosakan yang dianggarkan berjumlah hingga 1 bilion euro (RM4.74 bilion).