20 maut dalam nahas jalan raya Turkiye

Bernama
Ogos 21, 2022 04:04 MYT
Kemalangan berlaku selepas sebuah trak merempuh orang ramai yang sedang membantu mangsa yang terlibat dalam satu lagi nahas jalan raya di daerah Derik. - AP
MARDIN (Turkiye): Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 26 cedera dalam nahas jalan raya di tenggara Turkiye pada Sabtu, menurut Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu.
Kemalangan berlaku di daerah Derik di Mardin selepas sebuah trak merempuh orang ramai yang sedang membantu mangsa yang terlibat dalam satu lagi nahas jalan raya melibatkan sebuah trak dan dua kenderaan, lapor Agensi Anadolu.
Soylu yang turut melawat lokasi kejadian memberitahu pemberita pejabat pendakwa telah pun menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Pasukan bantuan sudah dihantar ke lokasi kejadian dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital, ciap Soylu di Twitter.
Terdahulu, dalam satu kenyataan di Twitter, Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata lapan daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa.
-- BERNAMA
#kemalangan jalan raya #Turkiye #Mardin #trak bertembung