20 maut dalam insiden askar mengamuk di Thailand, suspek masih diburu

Bernama
Februari 8, 2020 04:28 MYT
Suspek masih bebas dan berada di dalam sebuah pusat membeli-belah dan dipercayai menahan beberapa tebusan. - gambar hiasan
Sekurang-kurangnya 20 orang maut selepas seorang anggota tentera yang dipercayai mengamuk melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai di Nakhon Ratchasima (juga dikenali sebagai Korat) di timur laut Thailand pada Sabtu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kongcheep Tantravanich berkata mangsa yang terbunuh termasuk tiga anggota tentera.
"Masih tidak jelas berapa ramai anggota polis yang terbunuh dalam insiden itu," katanya.
Media tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 31 orang cedera.
Suspek masih bebas dan berada di dalam sebuah pusat membeli-belah dan dipercayai menahan beberapa tebusan.
Bagaimanapun, jumlah mereka masih tidak diketahui.
Anggota tentera berusia 32 tahun itu, yang berkhidmat di Pusat Perintah Tentera Darat Wilayah Kedua, telah melepaskan tembakan di beberapa lokasi termasuk sebuah kuil Buddha di bandar itu, yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Bangkok.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, telah menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya dan dua yang lain di Kem Tentera Surathampithak sebelum bertindak melarikan mencuri beberapa senjata api baharu.
Dia telah melepaskan berdas-das tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu kenderaan dari kem tentera itu ke pusat membeli-belah Terminal 21, di mana dia dipercayai menyembunyikan diri.

pic.twitter.com/lYYF0rKh9Z

— 31 Hook31 (@Hook31_Thailand) February 8, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, suspek telah melakukan penstriman secara langsung berkaitan serangan itu di Facebook dan memuat naik swafotonya yang sedang memegang selaras raifal.
"Keletihan. Saya hampir tidak mampu menggerakkan jari-jemari saya," tulisnya di video yang dimuat naik pada kira-kira pukul 7.30 malam (waktu tempatan). Bagaimanapun, video itu kemudian telah dikeluarkan.

# pic.twitter.com/BcebWzTyCo

— 31 Hook31 (@Hook31_Thailand) February 8, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebuah video yang dimuat naik secara online menunjukkan anggota tentera itu meluru keluar dari kenderaannya di sebuah pusat membeli-belah sebelum mula melepaskan berdas-das tembakan secara rambang.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand Apirat Kongsompong mengeluarkan perintah kepada komander tentera darat tempatan untuk menyiasat insiden itu.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memburu suspek.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam insiden itu.
-- BERNAMA
#Jurucakap Kementerian Pertahanan #Kongcheep Tantravanich #mengamuk #tentera #Thailand
;