20 maut dalam cubaan melepaskan banduan di penjara Brazil

Agensi
April 11, 2018 06:30 MYT
Dalam kejadian pada Selasa, 20 orang maut termasuk seorang pengawal keselamatan penjara. - Foto AP
Seorang lelaki bersenjata melancarkan serangan di sebuah penjara di utara Brazil dengan tujuan membebaskan banduan di sana pada Selasa.
Namun percubaan tersebut berjaya dipatahkan pihak polis apabila berlaku pertempuran yang membawa kepada kematian 20 orang manakala empat yang lain cedera.
Pegawai keselamatan awam di Para mengesahkan 19 yang maut merupakan banduan manakala seorang lagi mangsa merupakan anggota pengawal keselamatan di sana.
Pihak berkuasa kini sedang melakukan siasatan dan pengiraan terhadap jumlah banduan sedia ada bagi memastikan tiada banduan yang berjaya meloloskan diri semasa serangan.
Menerusi kenyataan pegawai penyiasat polis, Rodrigo Leao berkata dua senjata serangan, tiga pistol dan dua senjata lain berjaya dirampas daripada kumpulan yang cuba memecah masuk ke penjara tersebut bagi menjayakan misi mereka.
Serangan bermula apabila sekumpulan mereka yang merancang plot berkenaan cuba meletupkan tembok penjara menggunakan bahan letupan.
Menyedari kejadian itu, pihak polis dan pengawal keselamatan berbalas tembakan dengan penyerang dan terdapat juga banduan yang terlibat dalam serangan turut memiliki senjata mereka sendiri.
Amerika Latin merupakan negara yang mempunyai populasi banduan terbesar di dunia dengan jumlah melebihi 726,000 orang.
#belem #Brazil #rusuhan penjara #tembakan
;