20 kucing mati di Poland akibat wabak selesema burung
Bernama
Julai 18, 2023 17:53 MYT
Julai 18, 2023 17:53 MYT
GENEVA/WARSAW: Pemilik kucing di Poland dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang selepas laporan mengenai sekurang-kurangnya 20 kucing mati akibat selesema burung di Poland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
WHO menerbitkan pemberitahuan rasmi mengenai wabak itu di Geneva pada Isnin, satu langkah yang sewajarnya mendorong negara lain untuk mengetatkan pengawasan.
Menurut penemuan awal, tiada individu mempunyai kontak langsung dengan kucing berkenaan di Poland yang dijangkiti virus H5N1 yang menyebabkan selesema burung itu.
WHO menilai risiko jangkitan sebagai rendah secara umum dan rendah hingga sederhana untuk pemilik haiwan dan pekerja penjagaan haiwan.
Menurut Institut Friedrich Loeffler Jerman di Greifswald, yang bertanggungjawab untuk kesihatan haiwan, tiada bukti H5N1 pada haiwan peliharaan di negara jiran Jerman
Selesema burung telah merebak dalam burung liar selama beberapa dekad, tetapi bilangan kes telah melonjak baru-baru ini.
"Tidak pernah ada begitu banyak kes terhadap burung liar," kata Institut Friedrich Loeffler.
Varian virus 2.3.4.4b telah menular sejak 2020 dan semakin menjangkiti mamalia.
Pakar bimbang bahawa dari masa ke masa, virus H5N1 akan menyesuaikan diri dengan mamalia sehingga tahap haiwan - dan kemudian mungkin manusia - serta menjangkiti satu sama lain secara besar-besaran.
Setakat ini, jangkitan individu pada manusia diketahui, tetapi bukan penularan dari orang ke orang.
"Jangkitan sporadis kucing dengan A(H5N1) telah dilaporkan sebelum ini, tetapi ini merupakan laporan pertama jumlah kucing yang dijangkiti agak tinggi di kawasan geografi yang luas dalam sesebuah negara," menurut WHO dalam satu kenyataan.
Di Poland, laporan pertama penyakit misteri mengakibatkan kematian pada kucing muncul dalam forum veterinar pada pertengahan Jun.
Pihak berkuasa Poland mengesyorkan pemilik kucing yang prihatin agar tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka keluar dari rumah atau membawanya bersentuhan dengan burung dan haiwan liar.
-- BERNAMA