2 suspek militan IS ditahan, serangan di Sydney berjaya dipatahkan

AFP
Februari 11, 2015 09:33 MYT
Polis Australia pada Rabu berkata satu serangan yang "mungkin berlaku" berjaya digagalkan di Sydney. -Gambar fail
Polis Australia hari ini berkata satu serangan yang "berkemungkinan berlaku" telah berjaya dipatahkan di Sydney susulan penahanan dua lelaki bersama parang, pisau memburu, video, dan bendera IS yang dirampas pada Selasa.
Timbalan Pesuruhjaya Polis New South Wales, Catherine Burn mendakwa serangan yang dirancang itu "selari dengan mesej yang dikeluarkan IS".
Ditanya sama ada serangan yang dirancang itu melibatkan pemenggalan kepala, Burn berkata polis belum dapat pastikan, namun yakin akan berlaku dan mungkin melibatkan senjata berupa pisau.
"Kami percaya mereka berpotensi mencederakan seseorang, bahkan membunuh seseorang, dan berpotensi menggunakan satu daripada senjata yang kami kenal pasti dan rampas semalam, berkemungkinan pisau," katanya.
Suspek telah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di pinggir bandar barat Sydney pada Selasa dan didakwa dengan melakukan persediaan atau perancangan tindakan berbentuk keganasan.
"Beberapa barang yang ditemui termasuk parang, pisau memburu, bendera buatan mewakili organisasi pengganas IS, dan juga video memaparkan seorang lelaki bercakap tentang melakukan serangan," kata Burn.
"Kami yakin kedua-dua mereka ini bersedia melakukan tindakan (keganasan) ini semalam. Kami kumpul maklumat, kami terima maklumat lanjut yang menunjukkan serangan itu bakal berlaku. Dan kami bertindak," katanya lagi.
#Australia #Catherine Burn #IS #keganasan #Polis New South Wales #Sydney #terorisme
;