2 pelajar universiti lakukan hubungan sejenis dihukum sebat secara terbuka di Aceh

Sinar Harian
Februari 25, 2025 17:20 MYT
Kedua-dua pesalah dibawa untuk menjalani hukuman rotan secara terbuka di Aceh. - Foto AFP/Sinar Harian
BANDA ACEH: Sebuah mahkamah di wilayah Aceh pada Isnin menjatuhi hukuman sebat secara terbuka ke atas dua lelaki selepas mereka mengaku bersalah melakukan hubungan sejenis, kata seorang pegawai.
"Panel hakim di Mahkamah Syariah Banda Aceh menjatuhi hukuman ke atas kedua-dua lelaki berkenaan yang melakukan liwat," kata Pendakwa Raya di Mahkamah Daerah Banda Aceh, Alfian kepada AFP.
Alfian menambah, pesalah dikenali AI (lelaki pertama) dijatuhi hukuman 85 sebatan, manakala DA (lelaki ke-2) dijatuhi hukuman 80 sebatan.
"Suspek pertama dijatuhi hukuman lebih berat kerana menyewa bilik itu dan merupakan orang yang 'memulakan perbuatan berkenaan' katanya.
Walaupun seks sejenis tidak menyalahi undang-undang di sebahagian lain di Indonesia, namun perlakuan tersebut haram di wilayah Aceh yang mengenakan undang-undang Islam.
Pada November tahun lalu, penduduk tempatan menyerbu sebuah bilik sewa di ibu kota wilayah Banda Aceh dan menemui dua lelaki berkenaan yang juga merupakan pelajar di sebuah universiti tempatan disyaki melakukan hubungan sejenis. Kedua-duanya didakwa atas kesalahan jenayah kerana melakukan hubungan sejenis.
Walaupun mendapat kritikan keras daripada kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan hukuman itu sebagai kejam, sebat secara terbuka tetap mendapat sokongan kuat dalam kalangan penduduk Aceh.
Pada tahun 2021, sepasang kekasih turut dirotan kerana kesalahan yang sama, manakala pada Januari 2025, empat lelaki dirotan kerana terlibat dalam perjudian dalam talian.
Aceh mula menguatkuasakan undang-undang syariah selepas diberikan autonomi khas pada tahun 2001, sebagai usaha oleh kerajaan pusat untuk meredakan pemberontakan pemisah yang berlarutan di wilayah tersebut.
Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#undang-undang syariah #hubungan sejenis #sebatan secara terbuka #Mahkamah Syariah Banda Aceh
;