2 maut nahas pesawat di Ecuador, kemalangan udara ke-4 dalam tempoh 2 bulan
Bernama
Mei 29, 2024 14:15 MYT
Mei 29, 2024 14:15 MYT
QUITO: Dua orang terbunuh dan seorang cedera pada Selasa apabila pesawat kecil mereka terhempas di Santa Rosa, wilayah pantai selatan El Oro, Ecuador, kata Direktorat Jeneral Penerbangan Awam.
Pesawat ringan Piper-34 itu dalam penerbangan dari bandar pantai barat daya Guayaquil menuju ke Santa Rosa, kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Juruterbang David Parreno dan seorang penumpang, Augusto Viera, meninggal dunia dalam kemalangan itu, manakala penumpang kedua, Adrian Yumbala, cedera dan dibawa ke pusat kesihatan untuk rawatan, lapor Xinhua.
Kakitangan Lembaga Siasatan Kemalangan pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan, menurut kenyataan itu.
Menurut laporan media, penduduk tempatan berkata pesawat itu jatuh di kawasan berhutan di atas bukit dan pasukan penyelamat menyatakan serpihan pesawat itu terbakar.
Ini adalah kemalangan pesawat keempat di negara Amerika Selatan dalam tempoh dua bulan yang lalu.
Pada 26 April, sebuah helikopter tentera terhempas di wilayah timur laut Pastaza, menyebabkan lapan maut dan pada 6 Mei, sebuah helikopter Tentera Laut terhempas di wilayah pantai barat Santa Elena, mengorbankan dua juruterbang.
Tiga hari kemudian, sebuah pesawat Cessna mengalami insiden semasa berlepas di landasan di Morona Santiago, bagaimanapun semua selamat.
-- BERNAMA