2 maut, 3 cedera pesawat Piper terhempas di Alaska

Bernama
Julai 4, 2023 17:56 MYT
Pesawat model Piper PA-32-300 (seperti dalam gambar) berlepas dari Old Harbour menuju ke pangkalan operasinya di Kodiak apabila ia terhempas di kawasan cetek dan pergunungan pada sebelah petang. -Gambar fail/Wikipedia
SAN FRANCISCO: Dua orang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Pulau Kodiak, Alaska, pada petang Ahad Xinhua memetik pegawai pada Isnin.
Pesawat Piper PA-32-300 berlepas dari Old Harbour menuju ke pangkalan operasinya di Kodiak apabila ia terhempas di kawasan cetek dan pergunungan pada sebelah petang, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Serpihan pesawat dikesan kira-kira 4.8 kilometer utara Old Harbor, menurut Pengawal Pantai AS.
Old Harbor terletak di pantai tenggara Pulau Kodiak dan kira-kira 70 batu (112km) barat daya bandar Kodiak
Sebuah helikopter tiba di lokasi nahas sebelum 5 petang dengan kru menemui dua orang mati di tempat kejadian dan tiga lagi cedera, kata Pengawal Pantai.
Pesawat enjin tunggal itu beroperasi sebagai pesawat sewa atas permintaan. Ia dikendalikan oleh Vertigo Air Taxi, menurut ketua pejabat Alaska NTSB, Clint Johnson.
Masih belum jelas punca nahas itu. Seorang penyiasat NTSB pergi ke Kodiak awal Isnin untuk menyiasat, kata Johnson.
-- BERNAMA
#pesawat ringan terhempas #Pesawat Piper PA-32-300 #Old Harbour #NTSB #Vertigo Air Taxi
;