2 maut, 20 hilang dalam insiden tanah runtuh, banjir lumpur di Jepun

Astro Awani
Julai 3, 2021 23:09 MYT
Dua maut manakala 20 yang lain masih belum ditemukan dalam kejadian tanah runtuh di Atami, Shizuoka, Jepun pada Sabtu. -AP
ATAMI: Dua maut manakala 20 yang lain masih belum ditemukan dalam kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Atami, Shizuoka, Jepun pada Sabtu.
Pasukan khas digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu usaha mencari dan menyelamat lebih ramai mangsa dalam insiden itu.
Perdana Menteri, Yoshihide Suga sebelum ini mengarahkan bantuan lebih besar digerakkan bagi menangani bencana itu yang berpunca daripada hujan lebat tanpa henti sejak tiga hari lalu.
Polis, anggota bomba dan angkatan tentera Jepun terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Pihak berkuasa mengarahkan beratus-ratus ribu penduduk di tiga daerah berhampiran supaya mengosongkan kediaman di kawasan tanah rendah susulan amaran banjir.
Tanah runtuh pada pagi waktu tempatan itu telah menyebabkan beberapa buah rumah musnah ditenggelami lumpur dan bekalan elektrik terputus.
Sebahagian besar Jepun kini dilanda musim hujan yang kebiasaannya menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
#tanah runtuh #Jepun #SAR #Yoshihide Suga #banjir #banjir lumpur #tanah rendah #amaran banjir #rumah musnah #ditenggalami lumpur