2 helikopter Blackhawk terhempas ketika latihan

Astro Awani
Mac 30, 2023 11:00 MYT
Pihak berkuasa memasang perimeter keselamatan di sekitar lokasi kejadian. -AP
KENTUCKY: Dua helikopter Blackhawk milik angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas semasa misi latihan rutin di Kentucky pada petang Rabu.
Setakat ini tiada laporan tentang jumlah mangsa yang terlibat namun nahas dipercayai mengakibatkan korban nyawa.
"Kami boleh mengesahkan dua pesawat dari skuadron ke-101 terlibat dalam nahas malam tadi yang menyebabkan korban jiwa.
"Tumpuan kami sekarang adalah kepada anggota dan keluarga mereka yang terlibat," tulis kenyataan daripada Divisyen Udara ke-101 dalam tweet pada awal pagi Khamis.
Pejabat Hal Ehwal Awam Fort Campbell dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam semasa latihan di Trigg County.
“Status anak kapal tidak diketahui buat masa ini.
"Arahan kini adalah untuk memberi tumpuan kepada keperluan anggota dan keluarga mereka," tulis kenyataan itu yang menambah bahawa siasatan terhadap insiden itu sedang dijalankan.
Menurut saksi yang tinggal berhampiran tapak nahas, mereka terdengar bunyi "pop" dan "dua letupan."
NBC News melaporkan nahas berlaku di kawasan berhutan dan pihak berkuasa telah menetapkan perimeter keselamatan di sekitar lokasi kejadian.
#Blackhawk #helikopter terhempas #angkatan tentera Amerika Syarikat #misi latihan rutin di Kentucky