2 harimau Sumatera terlepas dari zoo, seekor ditembak mati
Agensi
Februari 6, 2021 23:18 MYT
Februari 6, 2021 23:18 MYT
PONTIANAK: Seekor harimau Sumatera yang tergolong dalam spesies terancam ditembak mati selepas terlepas dari sebuah zoo di Kalimantan Barat, pada Sabtu.
Seekor lagi harimau spesies sama masih bebas dan belum ditemui.
Difahamkan kedua-dua ekor harimau betina berumur 18 bulan itu terlepas dari Zoo Sinka pada petang Jumaat.
Hujan lebat ketika itu mengakibatkan tanah runtuh dan mewujudkan satu ruang seakan terowong, yang memudahkan haiwan berkenaan terlepas.
Seorang penjaga zoo berumur 47 tahun turut ditemui mati dengan kesan cakaran dan gigitan pada badannya.
Turut ditemui adalah bangkai burung kasawari, burung unta dan monyet berhampiran kandang harimau itu.
Semua pusat pelancongan berdekatan telah diarahkan tutup dan orang ramai diminta tidak keluar rumah sementara pihak berkuasa sedang mengesan haiwan tersebut.
"Kami cuba tembak dengan senapang ubat pelali terlebih dahulu tetapi tidak berjaya, jadi kami terpaksa menembak harimau itu kerana ia sudah bertindak agresif," kata Sadtata Noor Adirahmanta, Ketua Agensi Pemuliharaan Tempatan.
Harimau Sumatera dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, dengan kurang dari 400 ekor dipercayai masih hidup.