18 maut dalam cuaca sejuk ekstrem di timur laut Amerika Syarikat

Agensi
Januari 6, 2018 14:38 MYT
Orang awam yang berada di luar bangunan di Manhattan, New York ini terpaksa menghangatkan tubuh dengan mengenakan pakaian tebal yang berlapis-lapis. - Reuters
Cuaca sejuk ekstrem yang melanda Amerika Syarikat (AS) khususnya di bahagian timur laut negara itu sudahpun mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang.
Salji yang turun dengan lebat pada Jumaat memaksa petugas jalanan bertungkus-lumus membersihkan laluan umum meskipun dalam suhu yang jatuh menjunam, lapor Reuters.
Keadaan sejuk luar biasa dijangka terus melanda New England hingga ke bahagian barat tengah AS dan ke Carolina. Dalam beberapa hari mendatang, bacaan suhu diramalkan jatuh lagi antara 1 hingga 7 Celsius berbanding suhu purata yang sudahpun di bawah paras beku.
Dari Baltimore ke Caribou, Maine, petugas terus menjalankan kerja-kerja luar dalam suhu di bawah paras beku di beberapa kawasan selepas terbenam matahari.
Dalam kejadian pada Jumaat di North Charleston, South Carolina, keadaan jalan raya yang licin mengakibatkan sebuah kenderaan tergelincir lalu melanggar mati seorang pejalan kaki. Pemandu kereta tersebut yang berusia 17 tahun telah ditahan dan didakwa memandu terlalu laju dalam situasi tersebut.
“Keadaan bahaya amat nyata. Permukaan berais di mana-mana di kota ini. Duduk saja di rumah,” kata pihak berkuasa menerusi Twitter.
Seorang pakar meteorologi menerusi perkhidmatan AccuWeather, Dan Pydynowski, juga memberi amaran: “Keadaan sangat berbahaya. Sebarang permukaan kulit yang terdedah boleh membeku dalam beberapa minit.”
Cuaca sejuk buat masa ini menjejaskan kedatangan pelancong ke New York, dengan semua tempat pelancongan seperti tugu peringatan dan arca awam diselubungi ais. Malah, ada yang berpendapat, kesejukan itu lebih dahsyat dari London.
GALERI FOTO: Amerika membeku!
Di Tugu Peringatan Lincoln, pelancong yang datang untuk bergambar di kawasan itu juga diarahkan bersurai kerana pihak berkuasa bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka.
Ribut salji yang melanda pada Khamis membawa kelajuan angin sehingga 113 kilometer sejam, dan menyebabkan salji terbentuk setebal 56 sentimeter di maine dan 43 sentimeter di Massachusetts.
Sementara itu, gelandangan di bandar-bandar seperti Houston dan Boston telah diselamatkan pihak berkuasa, dengan membawa mereka masuk ke pusat perlindungan sementara.
Setakat ini, tiga orang gelandangan di Texas maut akibat terdedah kepada cuaca sejuk melampau.
#Boston #cuaca #ekstrem #musim dingin #musim salji #New York #sejuk
;