18 maut, 27 cedera kemalangan babitkan bas bawa migran

Astro Awani
Oktober 7, 2023 08:45 MYT
Keadaan bas yang terlibat dalam nahas di Mexico ketika ditarik trak tunda. - Foto AP
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 18 individu maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas di Oaxaca, Mexico pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa tempatan, 27 individu lain cedera dalam insiden itu dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan.
Tiga kanak-kanak dan dua wanita antara mangsa maut, kesemua mereka dikatakan merupakan pendatang asing dari Venezuela dan Haiti.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi waktu tempatan apabila bas berkenaan dikatakan terbabas sebelum terbalik di lebuh raya Oaxaca-Cuacnopalan.
Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Ini adalah insiden terbaru dalam siri kematian pendatang di Mexico untuk ke sempadan Amerika Syarikat (AS) dan kemalangan kini berlaku di kemuncak paras tertinggi pendatang tiba di sempadan berkenaan dalam cubaan lolos ke AS.
Kebiasaanya, mereka akan cuba menyeberangi mexico dengan bas, trak atau menaiki kereta api kargo secara haram di "laluan darat penghijrahan paling berbahaya di dunia" dengan 686 kematian dan kehilangan dicatatkan pada tahun 2022.
Namun mereka kebiasannya terpaksa berhadapan risiko kemalangan maut dan penculikan oleh kumpulan penjenayah dan rasuah oleh pegawai penguatkuasa.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa melaporkan lebih 8,200 pendatang telah meninggal dunia atau hilang di benua Amerika sejak 2014, kebanyakannya ketika cuba sampai ke AS melalui Mexico.
#nahas bas #pendatang asing #terbabas #terbalik
;