17 vaksin COVID-19 masuk fasa kedua ujian - WHO

Astro Awani
Julai 3, 2020 08:58 MYT
Ujian ke atas 17 vaksin COVID-19 kini memasuki fasa kedua, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). -Gambar fail
Ujian ke atas 17 vaksin COVID-19 kini memasuki fasa kedua, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada masa sama, vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford pula telah masuk fasa ketiga.
Menurut WHO, ia menyambut baik perkembangan ujian vaksin terhadap virus berbahaya itu, namun masih belum dapat dipastikan bila keputusan klinikal akan diumumkan.
Menurut laman web Pusat Kawalan Penyakit (CDC), fasa kedua ialah ujian ke atas individu yang memiliki karakteristik sama dengan subjek sasaran.
Fasa ketiga pula merangkumi ujian ke atas ribuan sampel untuk melihat tahap keberkesanan dan keselamatannya.
Ketua saintis WHO, Dr Soumya Swaminathan melihat beberapa bulan mendatang menjadi cabaran besar bagi membangunkan kaedah rawatan dan vaksin yang mampu melawan COVID-19.
Menurutnya, ketika ini banyak ujian dijalankan bagi melihat keberkesanan ubat antiviral Remdisivir di Amerika Syarikat (AS).
Namun, menurutnya, kajian ke atas ubat berkenaan di China menunjukkan ia tidak memberi sebarang manfaat dan tahap keberkesanannya masih tidak jelas.
#CDC #COVID-19 #fasa kedua #fasa ketiga #koronavirus #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Pusat Kawalan Penyakit #Remdisivir #Universiti Oxford #vaksin #WHO
;