17 terbunuh, Israel bom pusat perlindungan, rumah di Gaza
Bernama
November 27, 2024 18:48 MYT
November 27, 2024 18:48 MYT
GAZA: Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel pada awal pagi Rabu ke atas sebuah pusat perlindungan di sini dan sebuah rumah di utara Semenanjung Gaza, ketika bedilan meriam Israel terus menyasarkan kawasan di seluruh wilayah terkepung itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel pada awal pagi Rabu, termasuk 10 orang di Sekolah Al-Tabieen di Bandaraya Gaza dan empat orang di kawasan perumahan Shejaiya.
- Serangan udara juga menyebabkan tiga individu terbunuh berhampiran Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, dan tentera Israel mengepung sebuah sekolah di kawasan Beit Lahia Project.
- Sejak 5 Oktober, Israel melancarkan serangan darat besar-besaran di utara Gaza, menyebabkan lebih 2,300 orang terbunuh dan 80,000 penduduk di ambang kebuluran akibat kekurangan bantuan kemanusiaan.
Menurut sumber perubatan, 10 rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel di Sekolah Al-Tabi'een, yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Bandaraya Gaza.
Saksi mata memberitahu Anadolu bahawa pesawat pejuang Israel menyerang sekolah yang dijadikan pusat perlindungan itu pada waktu subuh, menyebabkan beberapa orang yang sedang berlindung di situ terbunuh.
Operasi pencarian diteruskan untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, tambah saksi.
Pada 10 Ogos, sekolah sama turut menjadi sasaran serangan pesawat pejuang Israel yang mengorbankan lebih 100 rakyat Palestin ketika penghuninya sedang menunaikan solat.
Sumber perubatan juga memaklumkan kepada Anadolu bahawa empat rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan Shejaiya di timur Bandaraya Gaza.
Tiga lagi individu terbunuh akibat serangan udara Israel ke atas sekumpulan orang berhampiran Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, di utara Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan.
Tentera Israel juga mengepung sebuah sekolah di kawasan Beit Lahia Project, memaksa orang yang berlindung di dalamnya keluar.
Sejak 5 Okt, Israel telah melancarkan serangan darat besar-besaran di utara Gaza kononnya untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula. Bagaimanapun, rakyat Palestin menuduh Israel berusaha untuk menduduki kawasan itu dan memindahkan penduduknya secara paksa.
Sejak itu, tiada bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api telah dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan, menyebabkan kebanyakan penduduk di sana - yang kini dianggarkan seramai 80,000 orang - di ambang kebuluran.
Lebih 2,300 orang telah terbunuh sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan itu adalah episod terbaru dalam serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza yang telah membunuh lebih 44,250 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023.
-- BERNAMA