17 mubaligh AS diculik di Haiti

Agensi
Oktober 17, 2021 16:59 MYT
Menurut laporan itu lagi, motif penculikan masih tidak jelas namun pegawai memberitahu mubaligh itu diculik dari sebuah bas yang menuju ke lapangan terbang.
TIDAK sampai setahun menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilihat menghadapi krisis antarabangsa selepas berlakunya penculikan besar-besaran rakyat Amerika di Haiti.
“Seramai 17 mubaligh Kristian dari Amerika Syarikat dan ahli keluarga mereka, termasuk kanak-kanak, diculik pada hari Sabtu.
“Mereka diculik oleh sebuah geng di Port-au-Prince ketika mereka meninggalkan rumah anak yatim,” menurut pegawai keselamatan Haiti seperti dilaporkan The New York Times.
Menurut laporan itu lagi, motif penculikan masih tidak jelas namun pegawai memberitahu mereka diculik dari sebuah bas yang menuju ke lapangan terbang.
Mereka ke lapangan terbang untuk menurunkan beberapa anggota kumpulan tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Haiti.
Penculikan terbaharu itu menunjukkan kes keganasan dan penculikan meningkat dengan mendadak di negara tersebut.
Haiti berada dalam keadaan pergolakan politik selama bertahun-tahun dan penculikan orang kaya dan miskin adalah perkara biasa.
Meskipun negara tersebut terbiasa dengan pelanggaran undang-undang yang meluas, penculikan sekumpulan besar orang Amerika mengejutkan pihak berkuasa.
#Amerika Syarikat #mubaligh Kristian #penculikan #Joe Biden
;