17 maut, 8 cedera kenderaan terjunam ke dalam gaung di Chhattisgarh, India

Bernama
Mei 20, 2024 05:45 MYT
Sebuah kenderaan pikap tergelincir dan terjunam ke dalam gaung di Chhattisgarh, India, mengakibatkan sekurang-kurangnya 17 maut dan lapan lagi cedera pada Isnin. - Foto India Today
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan lapan lagi cedera pada Isnin selepas sebuah kenderaan pikap yang membawa mereka tergelincir dari jalan dan terjunam ke dalam gaung di negeri Chhattisgarh, tengah India, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku berhampiran Kampung Bahpani di Daerah Kabirdham, kira-kira 173 km barat laut Raipur, ibu kota Chhattisgarh.
Pegawai berkata kenderaan pikap itu membawa 25 pekerja yang pulang selepas memetik daun tendu dari kawasan hutan.
Polis telah mendaftarkan kes dan mengarahkan siasatan ke atas kemalangan itu.
Media tempatan melaporkan bahawa pekerja-pekerja berkenaan adalah daripada komuniti suku Baiga, yang terlibat dalam perniagaan pembuatan bidi, dan mereka mengumpul daun tendu.
Bidi adalah rokok kecil yang digulung dengan tangan menggunakan tembakau dan dibungkus dengan daun tendu.
Kemalangan maut di India sering disebabkan oleh lebihan muatan, keadaan jalan yang teruk dan pemanduan secara melulu.
Hampir 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kira-kira setengah juta kemalangan jalan raya di seluruh India, kata pegawai.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: India, chhattisgarh, nahas jalan raya, 17 maut
#India #pekerja memetik daun tendu #kenderaan pikap tergelincir #kenderaan pikap jatuh dalam gaung
;