17 cedera apabila lelaki cuba bakar diri dalam kabin tren Hong Kong

Agensi
Februari 11, 2017 10:19 MYT
Anggota bomba sedang memberi rawatan kecemasan kepada salah seorang mangsa. - Foto AP
Seorang lelaki ditahan polis Hong Kong kerana menyebabkan kebakaran dalam koc tren transit aliran massa yang dikendalikan perkhidmatan MTR di stesen Tsim Sha Tsui pada awal malam Jumaat, lapor media tempatan.
Rakaman video amatur yang tersebar juga menunjukkan suasana kecoh di platform stesen Tsim Sha Tsui yang sesak, apabila ruang kabin tren terbakar sementara seorang penumpang terbaring di platform dengan kesan terbakar pada tubuhnya.
Beberapa orang awam dilihat cuba membantu menyelamatkannya.
“Berdasarkan laporan awal dan maklumat dari mangsa, kami percaya ada seseorang yang mencetus kebakaran menggunakan bahan mudah terbakar,” ujar timbalan ketua bomba tempatan, Yau Chi-on.
Sejumlah 17 orang cedera dan dua dalam keadaan kritikal, dengan mangsa mengalami kesan terbakar yang serius selain telah menyedut asap berbahaya.
Suspek kejadian itu, seorang lelaki 60 tahun, telah mengaku kepada polis bahawa dia sebenarnya mahu membakar diri sendiri. Pihak berkuasa kemudian memberitahu bahawa motif lelaki berkenaan berniat dan berkelakuan sedemikian akan disiasat.
Komander polis Yau Tsim menyifatkan kejadian itu sebagai kes terpencil dan ia tiada kaitan dengan aktiviti pengganas.
Dalam kejadian berkenaan, tren tersebut dalam perjalanan antara stesen Admiralty dan Tsim Sha Tsui.
Seorang sumber polis memberitahu bahawa lelaki itu telah menyebut “bakar kau sampai mati” sebelum menyalakan bom petrol yang dibawanya sebelum dirinya sendiri terbakar.
Video dan gambar amatur oleh para penumpang lain yang kemudiannya memuat naik ke media sosial menjadi tumpuan pengguna internet. Ia antara lain menunjukkan keadaan cemas apabila kabin tren dipenuhi asap, dan orang lari bertempiaran.
Mass Transit Railway (MTR), yang menguruskan operasi tren bawah tanah itu berkata, tren dari laluan Tsuen Wan akan melangkau stesen Tsim Sha Tsui sementara situasi kembali pulih.
#bakar diri #Hong Kong #MRT #MTR #terbakar #Tsim Sha Tsui
;