165 penduduk Gaza terbunuh dalam tempoh 24 jam
Agensi
Disember 31, 2023 10:00 MYT
Disember 31, 2023 10:00 MYT
INTENSITI perang Palestin-Israel kini semakin memuncak dengan terkini, pengeboman bertali arus tentera Zionis di tengah bandar Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 165 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam yang lepas, pada Sabtu.
Pihak Berkuasa Kesihatan Palestin berkata, pertempuran tertumpu di Al-Bureij, Nuseirat, Maghazi dan Khan Younis, disokong oleh serangan udara intensif yang turut mencederakan 250 mangsa.
Serangan itu dilakukan dengan menghantar kereta kebal Israel untuk mengepung rakyat Palestin ke tengah dan selatan Gaza, lalu melancarkan tembakan udara dan artileri yang sangat dahsyat.
Menurut penduduk, serangan maut ini telah memusnahkan sebahagian besar kawasan di tengah kawasan bandar berkenaan.
Israel dalam pada itu berikrar akan melancarkan lebih banyak serangan dalam beberapa bulan lagi.
Kini hampir kesemua 2.3 juta penduduk Gaza telah dipaksa keluar dari rumah mereka akibat serangan kejam Israel selama 12 minggu.
Serangan itu telah membunuh sekurang-kurangnya 21,672 rakyat Palestin, dengan lebih 56,000 cedera dan ribuan lagi dikhuatiri maut di bawah runtuhan.