163 pekerja China seperti hamba di tapak kilang BYD Brazil
Astro Awani
Disember 24, 2024 07:40 MYT
Disember 24, 2024 07:40 MYT
RIO DE JANEIRO: Pihak berkuasa Brazil menemui seramai 163 warga China yang bekerja dalam keadaan seperti hamba di sebuah tapak pembinaan kilang milik pengeluar kenderaan elektrik China, BYD, di negeri Bahia.
Menurut pihak berkuasa, para pekerja tersebut telah diupah oleh sebuah syarikat lain di China sebelum dibawa ke Brazil secara tidak sah.
Katanya, mereka dilaporkan bekerja untuk tempoh masa yang panjang termasuk bekerja selama tujuh hari seminggu selain ditempatkan dalam keadaan yang dianggap tidak bermaruah.
Dalam satu kenyataan, BYD memaklumkan bahawa mereka telah memutuskan hubungan dengan syarikat yang mengupah pekerja tersebut.
BYD juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyediakan bantuan kepada pekerja terbabit.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa buruh tidak mendedahkan nama-nama syarikat yang terlibat dalam pengambilan pekerja tersebut.
Di Brazil, istilah "keadaan seperti hamba" merangkumi buruh paksa melibatkan situasi seperti ikatan hutang, keadaan kerja yang tidak bermaruah, tempoh kerja yang terlalu panjang sehingga membahayakan kesihatan pekerja, serta apa-apa jenis pekerjaan yang melanggar maruah manusia.
Para pekerja ini dilaporkan perlu mendapatkan kebenaran untuk meninggalkan tempat penginapan mereka dan sekurang-kurangnya 107 orang daripada mereka juga mengalami penahanan pasport oleh majikan.
Menurut inspektor buruh Liane Durao, keadaan di tapak kerja tersebut adalah berbahaya sambil menambah pihaknya mendapati kerja dilakukan 163 pekerja itu adalah dalam keadaan seperti hamba.
Operasi ini masih berjalan dan denda belum lagi dikeluarkan kepada pihak yang bertanggungjawab.