162 maut di Afghanistan, suhu turun hingga -34 darjah Celsius

Astro Awani
Januari 27, 2023 08:20 MYT
Seorang bapa mendukung anaknya ketika berjalan di Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS
KABUL: Lebih 162 orang maut akibat kesejukan di Afghanistan bulan ini semasa musim sejuk terburuk melanda negara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Rakyat Afghanistan menyifatkan mereka tidak mampu untuk membeli bahan api untuk memanaskan rumah ketika suhu di bawah paras beku.
Menteri Pengurusan Bencana Afghanistan, Shafiullah Rahimi berkata, 162 orang maut sejak 10 Januari hingga sekarang dan kira-kira 84 kematian berlaku pada minggu lalu.
Musim sejuk kali ini disifatkan yang terburuk dalam tempoh 15 tahun apabila suhu merosot serendah negatif 34 darjah Celsius.
Ini ditambah dengan Afghanistan dilanda krisis ekonomi yang teruk.
Banyak kumpulan bantuan telah menggantung sebahagian operasi dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana pentadbiran Taliban memutuskan pekerja NGO wanita tidak dibenarkan bekerja yang menyebabkan agensi tidak dapat mengendalikan banyak program di negara Asia Selatan itu.
Di padang bersalji di barat ibu kota Afghanistan, kanak-kanak menyelongkar sampah mencari plastik untuk dibakar bagi membantu keluarga mereka yang tidak mampu membeli kayu atau arang batu.
Semasa lawatan ke Kabul minggu ini, Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths berkata, badan dunia itu memohon pengecualian larangan ke atas kebanyakan pekerja bantuan wanita untuk menghadapi musim sejuk.
#musim sejuk #bahan api #krisis ekonomi #bawah paras beku
;