16 mayat ditemukan selepas suhu melonjak di Karachi
Bernama
Julai 18, 2024 07:30 MYT
Julai 18, 2024 07:30 MYT
ISLAMABAD: Sejumlah 16 mayat ditemukan di beberapa kawasan di Karachi dalam tempoh dua hari lepas ketika suhu yang melambung tinggi melanda bandar pelabuhan selatan itu, menurut pegawai penyelamat pada Khamis.
Anggota perkhidmatan penyelamat Edhi memberitahu Xinhua bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyahhidratan yang disebabkan oleh suhu tinggi pada Rabu dan Khamis di Lyari, Korangi Lasbela, dan kawasan kejiranan lain di bandar pelabuhan itu.
Semua mayat telah dibawa ke pelbagai hospital, dengan hanya tiga yang telah dikenal pasti setakat ini, menurut pegawai.
Anggota penyelamat berkata mereka telah memberikan bantuan kecemasan kepada ramai individu yang terjejas oleh suhu yang melonjak dalam tempoh dua hari lepas.
Menurut pegawai penyelamat, kebanyakan mangsa ialah penagih dadah yang maut akibat panas terik ketika berada di bawah pengaruh dadah.
Jabatan Meteorologi berkata Karachi mengalami malam paling panas yang pernah direkodkan pada Julai, iaitu Rabu malam dengan suhu mencapai 32.5 darjah Celsius.
Jabatan Meteorologi berkata bahawa cuaca mendung sebahagiannya berlaku di bandar pelabuhan itu pada Khamis kerana angin laut terhenti, menyebabkan suhu melonjak hingga 39 darjah Celsius dan terasa seperti 46 darjah Celsius.
Pegawai berkenaan berkata tahap kelembapan di bandar itu adalah 68 peratus, menyumbang kepada kepanasan yang terik. Walaupun gelombang haba berterusan, terdapat ramalan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan, memberikan harapan untuk sedikit kelegaan.
Pada Jun lepas lebih 40 mayat ditemukan di pelbagai kawasan di Karachi dalam tempoh tiga hari, ketika bandar itu mengalami kepanasan melampau.
--BERNAMA-XINHUA