16 maut jadi sasaran pengebom berani mati
Astro Awani
Januari 18, 2014 11:48 MYT
Januari 18, 2014 11:48 MYT
Sebuah restoran tumpuan warga asing menjadi sasaran terbaru serangan nekad di Afghanistan oleh tiga individu yang meragut sekurang kurangnya 16 nyawa.
Seorang pengebom berani mati bertindak meletupkan dirinya disusuli tembakan rambang oleh dua lelaki bersenjata di bahagian dapur restoran Taverna du Liban dekat Kabul itu.
Chef restoran malang terbabit, Abdul Majid, antara yang cedera. - AFP PHOTO/STRINGER
Ketua Polis Kabul Jeneral Mohammad Zahir dalam pada itu mengesahkan kesemua mayat mangsa ditemui di dalam restoran, dan angka korban kemungkinan meningkat berikutan beberapa mangsa dilaporkan masih hilang.
Mereka yang hilang termasuk empat petugas Pertubuhan Bangsa Bersatu yang dikatakan turut berada di restoran berkenaan ketika kejadian.
Restoran Taverna du Liban terletak di kawasan penempatan elit menempatkan perumahan kedutaan, Wazir Akbar Khan.
Letupan berlaku di sebuah penempatan yang mempunyai kawalan keselamatan yang tinggi.
Ia sering dikunjungi diplomat asing, pekerja bantuan perubatan, wartawan dan ahli perniagaan berikutan kawalan keselamatannya yang ketat.
Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.