16 maut, 85 cedera dua kereta api bertembung di Greece
Astro Awani
Mac 1, 2023 10:30 MYT
Mac 1, 2023 10:30 MYT
SEKURANG-kurangnya 16 maut manakala 85 cedera selepas dua kereta api bertembung di Greece, pada awal pagi Rabu.
Pihak berkuasa Greece berkata, sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Athens ke Thessalonoki bertembung dengan kereta api kargo dari Thessaloniki ke Larissa.
Menurut laporan, pertembungan kedua-dua kereta api berkenaan berlaku di luar bandar Larissa di tengah Greece.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Thessaly, Konstantinos Agorastos berkata, pelanggaran tersebut sangat kuat sehingga menyebabkan empat gerabak pertama kereta api penumpang telah tergelincir dari landasan malah dua gerabak pertama hampir musnah sepenuhnya.
Mengulas mengenai penumpang yang selamat, Agorastos menyatakan kira-kira 250 penumpang telah dipindahkan ke Thessaloniki menaiki bas.
Dalam pada itu, stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman gerabak tergelincir dan mengalami kerosakan teruk dengan tingkap pecah, serpihan bertaburan di jalan serta asap tebal.
Turut ditunjukkan dalam rakaman anggota penyelamat dilihat membawa obor dalam gerabak untuk mencari penumpang yang masih terperangkap.
Pada awal pagi Rabu, kru penyelamat masih mencari mangsa yang terselamat.
Media tempatan melaporkan kira-kira 350 orang menaiki kereta api tersebut.