15 terbunuh dipanah petir di barat Bengal India
Bernama
April 28, 2023 19:18 MYT
April 28, 2023 19:18 MYT
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dipanah petir di negeri barat Bengal di timur India, kata pegawai pada Jumaat, lapor Xinhua.
Hujan lebat dan ribut petir disertai kilat melanda negeri itu dalam tempoh 24 jam lepas yang turut menjejaskan daerah Bengal selatan.
Pegawai berkata kebanyakan mangsa adalah petani yang bekerja di ladang.
"Pada petang Khamis, petir menyambar beberapa bahagian negeri itu dan mengorbankan lima orang di Burdwan Timur, empat orang di Murshidabad dan masing-masing tiga di Midnapore Barat dan Howrah," kata seorang pegawai jabatan pengurusan bencana negeri.
"Beberapa orang turut cedera dan dihantar ke hospital," kata pegawai itu.
Menurut Jabatan Meteorologi India, langit sebahagiannya mendung dan hujan selain hujan petir berkemungkinan berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang.
Data rasmi menunjukkan 907 orang terbunuh disambar petir di seluruh India pada 2022.
--BERNAMA-XINHUA