15 penasihat Erdogan letak jawatan di tengah 'peremajaan' pasukan Presiden

Bernama
September 15, 2023 18:40 MYT
Selepas memenangi pilihan raya presiden pada Jun, Erdogan mengumumkan anggota Kabinet Turkiye yang baharu. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 15 penasihat Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan di tengah-tengah usaha untuk "meremajakan" pasukannya, Sputnik memetik laporan akhbar Turkiye Hurriyet pada Jumaat.
Tiada pengumuman rasmi dibuat dan tiada dekri khas dikeluarkan setakat ini, menurut laporan akhbar itu.
Sebaliknya, mekanisme peletakan jawatan khas telah dilaksanakan dan setiap penasihat telah menerima panggilan telefon peribadi di mana peletakan jawatan mereka dikaitkan dengan usaha "peremajaan dan perubahan", dan kebanyakan penasihat yang meletak jawatan berusia melebihi 65 tahun, menurut akhbar berkenaan.
Meskipun peletakan jawatan itu masih berjalan, anggota penasihat masih berperanan sebagai ahli majlis politik.
Selepas memenangi pilihan raya presiden pada Jun, Erdogan mengumumkan anggota Kabinet Turkiye yang baharu, dengan 90 peratus daripada ahlinya tidak pernah memegang jawatan menteri sebelum ini.
-- BERNAMA
#Recep Tayyip Erdogan #presiden turkiye #letak jawatan #peremajaan
;