15 maut akibat bencana gempa di Papua New Guinea
Agensi
Februari 28, 2018 10:25 MYT
Februari 28, 2018 10:25 MYT
Sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam tragedi gempa bumi di wilayah tengah Papua New Guinea dan bilangan itu berkemungkinan akan meningkat, menurut gabenor Southern Highlands William Powi pada Rabu.
Powi dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menghadapi kesukaran untuk berhubung dan pihak berkuasa masih berusaha untuk menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi berskala 7.5 Richter yang berlaku pada Ahad lepas itu.
Beliau berkata, tragedi itu menyebabkan empat orang maut akibat rumah runtuh manakala tiga lagi terbunuh akibat tanah runtuh.
“Dilaporkan lapan orang lagi maut namun tidak dapat dipastikan lokasi mereka dan 12 orang juga dilaporkan cedera,” jelasnya.
Bencana tersebut disifatkan sebagai satu ‘malapetaka yang sangat dahsyat’ dan penduduk di Papua New Guinea mengalami trauma akibat gempa tersebut.
Tiga kawasan telaga minyak dan gas asli cecair (LNG) juga ditutup susulan kejadian gempa bumi itu.
Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu melanda kira-kira 55 kilometer di barat daya Porgera dengan kedalaman kira-kira 23 batu.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa terbabit dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.
Gempa bumi tersebut dipercayai berpunca dari aktiviti gunung berapi memandangkan pulau terbabit berada di jajaran "Ring of Fire" yang tidak menentu.