15 maut, 40 cedera kereta api tergelincir di selatan Pakistan

Bernama
Ogos 6, 2023 20:51 MYT
Jumlah kematian dijangka meningkat kerana berpuluh-puluh penumpang masih terperangkap di dalam gerabak, manakala penumpang yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal. - Gambar Reuters
KARACHI: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala 40 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir di selatan wilayah Sindh, Pakistan pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 10 gerabak Hazara Express, yang dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Karachi ke bandar garrison timur laut Rawalpindi, tergelincir berhampiran daerah Nawabshah, kira-kira 267 kilometer dari Karachi, lapor Agensi Anadolu, memetik Pakistan Railways.
Menteri Kereta Api Khawaja Saad Rafiq mengesahkan jumlah kematian, sambil berkata kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kesilapan teknikal atau "tindakan sabotaj."
Media kerajaan melaporkan bahawa penumpang yang terbunuh dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak dibawa ke hospital di bandar Nawabshah, 15 km dari lokasi kemalangan.
Jumlah kematian dijangka meningkat kerana berpuluh-puluh penumpang masih terperangkap di dalam gerabak, manakala penumpang yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran dalam menjalankan operasi menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital kerana lokasi kemalangan yang terpencil.
Rakaman yang dimainkan oleh penyiar tempatan Geo News menunjukkan beberapa gerabak terbalik di landasan, manakala pasukan penyelamat yang disokong jentera berat cuba mengeluarkan penumpang yang terperangkap.
-- BERNAMA
#kereta api tergelincir #selatan Pakistan #wilayah Sindh #Hazara Express
;