15 anggota polis terbunuh dalam serangan di selatan Rusia

Bernama
Jun 24, 2024 14:20 MYT
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia telah memulakan kes jenayah di bawah artikel berkaitan serangan pengganas terhadap tembakan itu. - Gambar hiasan
MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 anggota polis dilaporkan terbunuh dalam beberapa siri serangan di Republik Dagestan, selatan Rusia, lapor Xinhua.
Menurut agensi berita RIA Novosti yang memetik pihak berkuasa tempatan, tembakan yang turut mengakibatkan kecederaan orang awam berlaku pada Ahad di dua gereja ortodoks, sebuah sinagog dan pos polis trafik di bandar pesisir Derbent dan ibu kota Dagestan, Makhachkala.
Ketua Republik Dagestan, Sergei Melikov berkata situasi kini terkawal. Kebakaran yang tercetus semasa serangan di sinagog di Derbent telah dipadamkan sepenuhnya.
"Enam penyerang bersenjata telah ditembak mati," kata Melikov di media sosial, sambil menambah bahawa operasi memburu akan diteruskan sehingga semua pelaku serangan ditangkap.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia telah memulakan kes jenayah di bawah artikel berkaitan serangan pengganas terhadap tembakan itu dan rejim operasi antipengganas telah diperkenalkan di Dagestan, menurut Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan.
Dagestan, yang terletak di wilayah Kaukasus Utara, adalah satu daripada kawasan yang paling pelbagai dari segi bahasa dan etnik di negara berkenaan.
Susulan serangan itu, Presiden Persekutuan Komuniti Yahudi Rusia, Alexander Boroda menggesa orang ramai agar tidak bertindak balas terhadap provokasi yang mungkin timbul akibat serangan di Dagestan, lapor agensi berita TASS.
Semua acara hiburan di Makhachkala dan Derbent telah dibatalkan sehingga diberitahu kelak, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pada 22 Mac, satu serangan pengganas di tempat konsert Crocus City Hall di Moscow, diikuti kebakaran besar, mengakibatkan sekurang-kurangnya 144 kematian dan 551 kecederaan, menurut statistik rasmi.
-- BERNAMA
#Rusia #serangan keganasan #bunuh polis #Yahudi
;