14 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di timur Afghanistan

Agensi
Oktober 3, 2020 07:16 MYT
Sebanyak 42 yang lain mengalami kecederaan dalam letupan di Daerah Ghanikhail, Nangarhar. - Gambar AP
NANGARHAR : Sekurang-kurangnya 14 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di Timur Afghanistan.
Kementerian Dalam Negeri negara berkenaan berkata sebanyak 42 yang lain mengalami kecederaan dalam letupan di Daerah Ghanikhail, Nangarhar.
Letupan berlaku berhampiran sebuah masjid ketika penduduk berkumpul untuk menunaikan solat asar.
Jurucakap Gabenor Nangarhar, Attaullah Khogyani berkata beberapa lelaki bersenjata dikatakan mahu memasuki bangunan daerah selepas letupan itu.
Bagaimanapun, pasukan tentera Afghanistan berjaya mengesan dan bertindak membunuh mereka sebelum mereka sampai di lokasi yang dituju.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu tetapi militan Daesh dan Taliban aktif di kawasan berkenaan.
Kedua-dua kumpulan itu kerap kali melakukan serangan terhadap pemerintah Afghanistan, keselamatan nasional, anggota pertahanan dan orang awam sebelum ini.
Serangan itu berlaku ketika wakil pemerintah Afghanistan dan Taliban sedang membuka rundingan di negara Asia Barat Qatar untuk mengakhiri perang berpanjangan selama beberapa dekad pasca perjanjian damai Amerika-Taliban pada 29 Februari di Doha.
#serangan #Kementerian Dalam Negeri #Daesh #Taliban #Afghanistan #Qatar #letupan #tentera #pengebom bunuh diri
;