14 maut, puluhan yang lain cedera serangan bunuh diri di Filipina

Agensi
Ogos 24, 2020 21:10 MYT
Serangan kedua melibatkan seorang penyerang wanita yang meletupkan diri sejam kemudian mengorbankan seorang tentera, komando polis dan mencederakan beberapa yang lain. -AP
ekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera termasuk tentera dan polis dalam serangan bunuh diri yang disifatkan terburuk di Filipina tahun ini.
Serangan itu berlaku di Jolo Sulu yang majoritinya Muslim, di mana pasukan keselamatan yang disokong pemerintah telah lama memerangi kumpulan Abu Sayyaf.
Menurut Leftenan Jeneral Corleto Vinluan, sekurang-kurangnya 75 tentera, polis dan orang awam cedera dalam serangan tersebut.
Tambahnya, majoriti mangsa termasuk kanak-kanak maut dan cedera dalam serangan pertama apabila bom yang dipasang pada motosikal yang diparkir berhampiran dua trak tentera di luar pasar raya meletup.
Serangan kedua melibatkan seorang penyerang wanita yang meletupkan diri sejam kemudian mengorbankan seorang tentera, komando polis dan mencederakan beberapa yang lain.
"Suspek yang memasang bom pada badannya dikatakan berjalan keluar dari kedai makanan ringan lalu mendekati seorang askar sebelum meletupkan dirinya sendiri", ujarnya.
Sementara itu, bom ketiga yang tidak meletup dilaporkan ditemui di pasar awam.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan namun tentera menyalahkan seorang komander militan Abu Sayyaf, Mundi Sawadjaan, yang dikaitkan dengan pengeboman bunuh diri baru-baru ini.
#Abu Sayyaf #bom #Filipina #Muslim #Sulu
;