14 maut, 50 cedera serangan bunuh diri di Kabul

Agensi
Julai 23, 2018 11:42 MYT
Anggota keselamatan mengangkat seorang lelaki yang cedera susulan serangan bunuh diri dekat lapangan terbang Kabul pada Ahad, 22 Julai, 2018. (Foto AP)
Empat belas orang disahkan maut manakala 50 yang lain cedera dalam insiden serangan bunuh diri berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul pada Ahad.
Insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan di sebatang jalan raya, sebaik rombongan Naib Presiden Pertama Afghanistan, Jeneral Abdul Rashid Dostum melalui kawasan tersebut.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Najib Danish, 14 yang terbunuh termasuk orang awam dan anggota tentera.
Sementara Abdul Rashid, bekas panglima perang Uzbekistan, dan rombongannya, selamat.
Sebuah kumpulan sekutu Daish negara itu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu melalui laman web Agensi Berita Amaaq.
Dalam satu kenyataan, Presiden Afghanistan Ashraf Ghani mengutuk serangan itu sekeras-kerasnya.
Sementara itu, jurucakap pejabat presiden Haroon Chakhansuri berkata, Abdul Rashid sebelum ini menerima rawatan perubatan di Turki dan sekarang sudah cukup sihat untuk kembali bertugas.
Abdul Rashid dilaporkan meninggalkan Afghanistan pada Mei 2017 selepas dituduh merancang pemerkosaan dan penyeksaan terhadap saingan politiknya.
Kepulangannya berlaku ketika bantahan ganas kian memuncak di beberapa wilayah di seluruh Afghanistan.
Ribuan penyokongnya menghalang pilihan raya, menutup pejabat kerajaan dan menyekat laluan kebanyakan lebuh raya demi menuntut pembebasan pemimpin militia pro kerajaan dan meminta beliau kembali.
#Afghanistan #Ashraf Ghani #bunuh diri #daish #Kabul #maut #serangan #tentera
;