14 cedera di Korea Selatan selepas eskalator yang sesak tiba-tiba terundur
Agensi
Jun 8, 2023 19:03 MYT
Jun 8, 2023 19:03 MYT
SEOUL: Kesibukan orang ramai yang bergegas ke tempat kerja pada waktu pagi menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah di Seongnam, Korea Selatan dikejutkan dengan satu insiden buruk melibatkan eskalator di salah sebuah stesen.
Dalam kejadian pada jam 8.20 pagi Khamis itu, eskalator yang sedang sesak membawa orang ramai naik dari ruang platform stesen Sunae di selatan Seoul tiba-tiba saja hilang fungsi lalu terundur laju.
Media tempatan melaporkan, dalam kekecohan itu, 14 orang cedera dengan tiga daripadanya mengalami cedera parah pada bahagian bekalang badan serta kaki.
Rakaman CCTV yang tular di media sosial menunjukkan puluhan orang yang sedang menaiki eskalator itu saling berhimpit dan bertimpa apabila eskalator berkenaan menukar haluan secara tiba-tiba dan bergerak laju ke bawah.
Terdapat individu yang cuba memanjat ke tepi eskalator untuk melepaskan diri daripada terjatuh dan berguling beramai-ramai, manakala ada yang dilihat cuba menyelamatkan diri dengan terpaksa melompat keluar, melangkah serta memijak pengguna lain yang sudah rebah.
Dalam situasi cemas berkenaan, ketidaksengajaan terlanggar dan terpijak anggota tubuh orang lain tidak dapat dielakkan, sekali gus menyumbang kepada bilangan mereka yang cedera.
Pihak berkuasa Korea Selatan sedang menjalankan sioasatan tentang insiden itu untuk mengenal pasti punca kejadian. Buat sementara waktu, kemudahan eskalator berkenaan ditutup kepada orang ramai.