14 cedera dalam kejadian tembakan di Texas
Astro Awani
Jun 12, 2021 07:30 MYT
Jun 12, 2021 07:30 MYT
SEKURANG-kurangnya 14 individu cedera selepas dua lelaki berbalas tembakan di pusat bandar Austin, Texas, pada Sabtu.
Salah seorang suspek kini dalam buruan pihak berkuasa dan masih bebas, kata Pemangku Ketua Jabatan Polis Austin, Joseph Chacon.
Menurutnya, insiden tersebut berlaku pada jam 1.30 pagi di kawasan Sixth Street, lokasi yang menjadi kunjungan ramai pada pada waktu malam.
"Berdasarkan siasatan awal, ia merupakan kejadian terpencil antara dua pihak. Kebanyakan mangsa ialah orang awam yang tidak bersalah," kata Chacon pada sidang media Sabtu.
Dalam insiden itu, pegawai polis yang berada di sekitar tempat kejadian terpaksa melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa terlibat.
Dua daripada yang cedera kini dalam keadaan kritikal manakala 12 lagi dalam keadaan stabil.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan dan kesemua mereka masih dirawat di hospital.
Jabatan Polis Austin berkata pada petang Sabtu, salah seorang suspek telah ditangkap dengan bantuan Pasukan Petugas Orang Buruan Polis Marshal.
Motif kejadian belum dikenal pasti.