13 tarikan di Singapura beroperasi semula secara berperingkat mulai 1 Julai

Bernama
Jun 28, 2020 20:33 MYT
Marina Bay Sands adalah antara 13 tarikan di Singapura yang akan beroperasi semula. - Gambar fail
Taman tema Universal Studios Singapore (USS) dan kasino di Resorts World Sentosa dan Marina Bay Sands, antara 13 tarikan di Singapura akan beroperasi semula secara berperingkat mulai 1 Julai.
Ia adalah sebahagian daripada aktiviti yang dibenarkan beroperasi semula dalam Fasa 2 selepas kelonggaran diberikan untuk perniagaan pelancongan, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam laman sesawangnya hari ini.
Sebanyak 10 lagi tarikan adalah Bounce; Flower Dome at Gardens by the Bay; Taman Burung Jurong; Madame Tussauds; River Safari; Zoo Singapura; Zero Latency; Muzium ArtScience; Sands SkyPark and Observation Deck; dan Akuarium S.E.A.
Sebagai langkah berhati-hati, buat permulaan kebanyakan tarikan akan mengehadkan jumlah pengunjung tidak lebih 25 peratus kapasiti operasi pada satu-satu masa, manakala akses ke kasino akan dihadkan kepada ahli kasino sedia ada dan pemegang levi tahunan sahaja.
"Dengan pembukaan semula sektor pelancongan secara selamat dan berperingkat, keutamaan STB adalah untuk memastikan perniagaan pelancongan menawarkan pengalaman yang selamat dan menyeronokkan kepada tetamu dan pelawat mereka," kata Ketua Eksekutif STB, Keith Tan.
"Sektor pelancongan terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, tetapi rakan industri kami telah bertindak secara profesional dan berdaya tahan," kata Tan.
STB juga akan membenarkan pengusaha pelancongan domestik untuk mula mengemukakan permohonan mereka untuk beroperasi semula.
-- BERNAMA
#COVID-19 #marina bay sands #operasi semula #pusat tarikan #Resorts World #Sentosa #Singapura #universal studios singapore
;