13 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan di California

Astro Awani
Jun 6, 2024 09:30 MYT
Pekerja penyelenggaraan membaik pulih pintu pejabat Presiden Universiti Standford yang dirosakkan penunjuk perasaan. - Foto AP
CALIFORNIA: 13 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan pihak berkuasa di Universiti Standford, California pada pagi Rabu setelah mereka cuba mengepung bangunan kampus.
Dakwa kampus itu juga, penahanan berlaku susulan beberapa bahagian luar dan dalam bangunan yang rosak akibat sikap agresif penunjuk perasaan.
Menurut media tempatan, protes yang bermula pada awal subuh itu menyaksikan beberapa penunjuk perasaan menduduki kawasan dalam bangunan tersebut manakala yang lain cuba membina benteng manusia di bahagian luar.
Dalam masa kira-kira tiga jam, pihak berkuasa telah memecah masuk ke dalam bangunan itu dan mula menahan orang ramai.
Para tahanan yang diiringi keluar dari bangunan kemudian dibawa masuk ke dalam kenderaan pihak berkuasa dengan bunyi sorakan yang lain sebagai tanda protes.
Bagaimanapun menurut kampus itu, pelajar yang menyertai protes itu akan digantung serta-merta, dan mana-mana pelajar di tahun akhir tidak akan dibenarkan menamatkan pengajian.
Dalam satu kenyataan juga, kampus itu turut mendakwa bahawa mereka terkejut dengan tindakan pelajar mereka dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut agensi berita AP, sekurang-kurangnya 86 insiden telah direkodkan sejak 18 April dan menyaksikan beberapa buah tangkapan dibuat di protes kampus di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan kenyataan daripada beberapa buah kampus dan pihak berkuasa, lebih 3,130 orang telah ditangkap di 65 buah kampus.
#protes #kampus #Palestin #pelajar
;