13 maut selepas bot tentera laut India, feri penumpang berlanggar

Bernama
Disember 19, 2024 11:15 MYT
Tangkap layar video tular menerusi individu yang berada atas feri sebelum bot laju tentera laut India hilang kawalan dan merempuh feri terbabit. - Foto X/@MithilaWaala
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas bot laju Tentera Laut India dan sebuah feri penumpang berlanggar di perairan Mumbai pada Rabu.
Tentera Laut India dalam satu kenyataan memaklumkan bot tentera itu hilang kawalan akibat kerosakan enjin semasa menjalani ujian di pelabuhan Mumbai.
"Akibatnya, bot itu berlanggar dengan feri penumpang sebelum terbalik," menurut kenyataan itu.
Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis berkata mangsa yang maut termasuk tiga anggota tentera laut dan 10 orang awam.
Operasi menyelamat dilancarkan menggunakan empat helikopter tentera laut, 11 kapal tentera laut, satu kapal Pengawal Pantai dan tiga bot polis marin.
Fadnavis berkata dua mangsa yang cedera parah dimasukkan ke hospital tentera laut, manakala 101 orang berjaya diselamatkan.
Sebuah video di media sosial menunjukkan bot tentera laut itu merempuh kapal bernama "Neelkamal" yang membawa lebih 100 penumpang, termasuk warga asing, dari lokasi ikonik Gateway of India ke gua Elephanta.
-- BERNAMA
#tentera laut india #feri penumpang #Neelkamal #Nahas
;