13 maut, 50 cedera letupan di barat laut Pakistan
Astro Awani
April 24, 2023 07:00 MYT
April 24, 2023 07:00 MYT
KABAL: Dua letupan di depot peluru agensi anti-keganasan di barat laut Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan lebih 50 yang lain, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Wilayah, Akhtar Hayat, letupan itu menggegarkan pejabat agensi anti-keganasan di Lembah Swat.
Jurucakapnya berkata, punca letupan itu kemungkinan disebabkan peluru terbakar akibat litar pintas dan setakat ini tiada bukti serangan dari luar berlaku.
Lembah Swat merupakan lokasi penempatan tentera, polis dan agensi anti-keganasan Pakistan susulan kawasan itu sering terdedah kepada aktiviti pemberontak.
Kumpulan militan juga pernah menembak dan mencederakan pemenang Nobel, Malala Yousafzai pada tahun 2012 di lembah berkenaan.
Bagaimanapun aspek lain letupan berkenaan sedang disiasat ketika ini.
Kebanyakan mereka yang terbunuh dalam letupan itu adalah pegawai agensi anti-keganasan, polis dan seorang wanita dan anaknya yang melalui bangunan itu.
Sementara itu, menurut Ketua Wilayah Jabatan Memerangi Keganasan, Sohail Khalid, letupan itu bukan serangan bunuh diri atau tindakan keganasan lain.
Jelasnya, terdapat sebuah bilik penyimpanan besar senjata dan sehingga kini pihaknya percaya bahawa letupan itu mungkin disebabkan kecuaian.