13 individu didakwa manipulasi pilihan raya AS itu bukan orang saya - Putin
Agensi
Mac 10, 2018 07:06 MYT
Mac 10, 2018 07:06 MYT
Presiden Rusia Vladimir Putin berang dengan dakwaan 13 rakyat negara itu terlibat memanipulasi keputusan pilihan raya presiden AS.
Kata Putin tindakan itu dilakukan kumpulan tertentu yang langsung tiada kena mengena dengan kerajaan pimpinannya
Putin mengulas isu ketika ditanya mengenai dakwaan oleh Peguam Khas, Robert Mueller yang menyiasat campur ta¬ngan Rusia dalam pilihan raya AS, dalam temubual khas oleh stesen penyiaran NBC News.
“Bagi saya ia langsung tidak membawa sebarang perbezaan kerana mereka tidak mewakili kerajaan,” jelas Putin.
Malah Putin mendakwa sebahagian daripada 13 individu itu mungkin memegang kerakyatan negara itu namun tidak semestinya mereka adalah dari etnik Rusia.
Ketika ditanya adakah Rusia bersedia mengekstradisi individu terlibat ke AS alam nada agak kasar menjawab itu tidak akan berlaku.
“Tidak. Rusia tidak mengekstradisi rakyatnya ke mana-mana negara sama seperti Amerika Syarikat. Adakah anda mengekstradisi sesiapa?” tegasnya.
Temubual kendalian Megyn Kelly dirakam dalam dua bahagian pada 1 dan 2 Mac lalu.
Ia turut dirakam perkhidmatan akhbar Kremlin yang menyiarkan petikannya pada Sabtu.
17 Februari lalu Mueller mendedahkan 13 orang rakyat Rusia didakwa terlibat dalam menjalankan ‘kempen rahsia’ pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016.
Salah seorang daripadanya adalah Yevgeny Prighozin yang digelar ‘tukang masak’ kepada Putin.
Selain itu, tiga buah syarikat milik Rusia turut dinamakan terlibat kegiatan tersebut.
Salah satunya termasuk Agensi Penyelidikan Internet di Saint Petersburg, Rusia yang didakwa mempunyai matlamat strategik menyemai perpecahan dalam sistem politik AS termasuk pilihan raya Presiden pada 2016.