13 hilang, kapal kargo karam di Pulau Lesbos, Greece
Bernama
November 26, 2023 04:20 MYT
November 26, 2023 04:20 MYT
MOSCOW: Sebuah kapal kargo dengan 14 anak kapal karam pada kedudukan 4.5 batu nautika barat daya Pulau Lesbos, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Athens-Macedonia (AMNA) pada Ahad.
Menurut laporan itu, kapal yang membawa muatan garam itu dalam pelayaran dari pelabuhan Ad Dakhilah di Mesir ke Istanbul.
Anak kapal itu pula terdiri daripada dua warga Syria, empat India dan lapan rakyat Mesir.
Menurut laporan itu misi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan seorang kru berjaya diselamatkan.
Beberapa kapal dikerah untuk misi itu, termasuk lima kapal kargo dan tiga kapal pengawal pantai.
Helikopter tentera udara dan tentera laut serta sebuah kapal frigat tentera laut turut digunakan dalam operasi itu, menurut laporan berkenaan.
-- BERNAMA