13 cedera dalam serangan bom di gereja Katolik di Filipina
Agensi
Disember 25, 2016 09:31 MYT
Disember 25, 2016 09:31 MYT
Sebuah kejadian letupan memusnahkan sebuah kereta polis di pekarangan sebuah gereja Katolik di selatan Filipina pada Sabtu, hingga mencederakan 13 orang termasuk anggota polis.
Letupan itu mencederakan pengunjung gereja yang menghadiri himpunan menjelang Krismas di Archdiocesan Shrine of Santo Nino di pekan perladangan Midsayap, kata paderi yang mengetuai himpunan itu, lapor AFP.
“Upacara di gereja sedang berlangsung ketika letupan terjadi,” ujar paderi Jay Virador.
Ia berlaku cuma 30 meter dari pintu masuk gereja dan telah mencetuskan suasana panik.
Jurucakap polis, Superintendan Romeo Galgo, mengesahkan kejadian itu yang berpunca daripada alat ledakan yang tidak diperincikan rupanya.
Mereka yang cedera digegaskan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti pihak yang membuat serangan tersebut dan sehingga kini tiada sesiapa mengaku bertanggungjawab.
Seorang penyiasat polis yang enggan dinamakan memberitahu AFP bahawa suspek pada awalnya menyasarkan gereja itu namun hanya meletupkan kereta polis yang diletakkan di hadapan bangunan berkenaan.
“Pelakunya seperti mahu lebih dekat dengan sasaran namun oleh kerana kawalan ketat pihak berkuasa, mereka hanya dapat melempar bahan letupan itu ke kereta polis,” ujarnya.
Selain kereta polis yang musnah, letupan itu turut membawa kerosakan kepada sebuah lori yang diletakkan berdekatan.
Pekan itu, yang berada pada jarak 900 kilometer ke selatan Manila, terletak berdekatan pulau Mindanao yang dikenali sebagai kubu kuat kumpulan militan.