120 penumpang, kru nyaris maut dalam kebakaran feri di Filipina
Agensi
Jun 18, 2023 13:44 MYT
Jun 18, 2023 13:44 MYT
MANILA: Sebuah feri Filipina yang membawa kira-kira 120 penumpang dan anak kapal dilapor terbakar ketika belayar pada Ahad.
Pengawal pantai memaklumkan feri M/V Esperanza Star terbakar pada waktu subuh ketika dalam perjalanan dari wilayah Siquijor ke wilayah Bohol di tengah Filipina.
Sebuah kapal pengawal pantai telah dikerah untuk memadam api dan menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat tentang jumlah mereka yang telah diselamatkan, atau jika terdapat kemalangan jiwa.
AP melaporkan daripada jumlah keseluruhan, 65 adalah penumpang manakala 55 lagi anak kapal.
Sermentara itu, gambar dan video yang dikeluarkan oleh pengawal pantai menunjukkan api dan kepulan asap hitam dari dua dek di bahagian hujung feri.
Media melaporkan kemalangan laut adalah perkara biasa di kepulauan Filipina kerana ribut yang kerap, kapal yang tidak diselenggara, kesesakan, serta penguatkuasaan peraturan keselamatan yang tidak jelas, terutamanya di wilayah terpencil.
Pada Disember 1987, feri Dona Paz karam selepas berlanggar dengan kapal tangki bahan api mengakibatkan lebih 4,300 orang terbunuh.