120 penduduk dipindahkan selepas tahap amaran Gunung Ibu dinaikkan kepada ancaman tertinggi
Bernama
Januari 16, 2025 06:15 MYT
Januari 16, 2025 06:15 MYT
JAKARTA: Seramai 120 penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara secara sukarela berpindah ke Gereja Tongotesungi di Kampung Akesibu selepas status amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap ancaman tertinggi pada Rabu.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia pada Khamis mengesahkan, penduduk itu termasuk 63 keluarga, terdiri daripada 46 kanak-kanak, 11 bayi, 21 warga emas dan 42 dewasa dari enam kampung di mukim Ibu.
Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan lima pusat pemindahan sementara, termasuk dua gereja, dua sekolah dan sebuah dewan serba guna untuk menempatkan kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi itu, menurut jurucakap BNPB, Abdul Muhari.
"Gunung Ibu meletus lagi hari ini (Khamis) pada 3.45 petang, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi kira-kira 1,500 meter dari puncaknya. Abu tebal dan awan gelap bergerak ke arah barat," katanya dalam kenyataan.
Sebagai tindak balas kepada letusan itu, Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) telah mengisytiharkan status tindak balas kecemasan.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) telah memperluas kawasan terdedah bencana di sekitar Gunung Ibu, dengan zon bahaya diperluas kepada lima kilometer dan sehingga enam kilometer di bahagian utara gunung berapi itu.
Zon bahaya yang diperluas itu kini melibatkan enam kampung untuk mengurangkan risiko ancaman aliran lumpur gunung berapi dan aliran piroklastik, tambah Abdul Muhari.
BNPB menyeru orang ramai agar bertenang, tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai letusan itu, dan mematuhi arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan di Maluku Utara dan Halmahera Barat.
- BERNAMA